Saturday, 27 September 2014

Bekas calon PAS dalam pilihan raya kecil Tenang Normala Sudirman mempertikaikan tindakan isteri calon BN di Pengkalan Kubor Khairos Husin yang mengambil cuti sebagai guru sekolah bagi membantu kempen suami.

Normala, presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK), berkata tindakan isteri Mat Razi Mat Ali itu harus disiasat Kementerian Pendidikan.

Ini kerana, dakwa Normala lagi, tindakan itu tidak mematuhi etika perkhidmatan, bahkan didakwa pilih bulu.

“NGO PENDIDIK menerima banyak aduan terhadap kes ini kerana ternyata jika ia benar, maka berlaku double standard dalam melayan warga pendidik yang seharusnya mematuhi etika perkhidmatan profesionalisme perguruan dalam Buku Perintah Am,” kata Normala.

Khairos, guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan, sebelum ini dilapor menyambung cuti seminggu untuk bantu suami berkempen dengan pendekatan rumah ke rumah.

Dalam kenyataan hari ini, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala, membandingkan keadaan itu dengan apa yang menimpa suaminya dalam pilihan raya kecil Tenang tiga tahun lalu.

Pada 28 Januari 2011, Kementerian Pendidikan dilapor menyiasat dakwaan bahawa suami Normala, Ma'arof Abd Talib menyalahgunakan sijil sakit untuk 'berkempen'.

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran berkata, ia perlu disiasat memandangkan beliau mendapat cuti sakit yang lama, iaitu 21 hari, tetapi didakwa turun membantu isterinya.

PAS menjelaskan bahawa Ma'arof, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Station, menghidap "simple depressive disorder" dan bukan sakit kritikal seperti dilaporkan media arus perdana.

Normala sendiri menegaskan suaminya jarang mengambil cuti sakit, memberi komitmen pada kerjaya dan percaya "penganiayaan akan berbalik kepada orang yang membuat fitnah".

Beliau tewas di tangan calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi.

Mengimbau keadaan ketika itu, Normala mendakwa masalah suaminya itu berpunca daripada asakan hebat Umno yang “mencampur aduk politik kepartian dengan pendidikan anak bangsa”.

Katanya, selain MC didedahkan di Internet, suaminya juga menerima tekanan psikologi surat tunjuk sebab 'Buang Kerja atau Turun Pangkat'.

“Antara PRK DUN Tenang dan PRK Pengkalan Kubor, pasangan warga pendidik dilayan secara tidak adil dandouble standard,” dakwanya.

No comments:

Post a Comment