LEDANG - Seorang bekas penggali kubur meninggal dunia ketika sujud menunaikan solat Maghrib di Surau Al-Nasirin Kampung Kenangan Tun Syed Nasir dekat Tanjung Agas di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam, Abu Othman, 73, dari Jalan Parit Haji Othman, tiba-tiba terbaring selepas didapati tidak bangun untuk meneruskan solat pada rakaat kedua.

Saksi yang juga jemaah surau berkenaan, Hashim Jaiman, 67, berkata, insiden itu turut disaksikan 40 jemaah lain yang terkejut dengan kejadian pertama kali berlaku di surau itu.

“Arwah yang dikenali Pak Abu Kubur adalah jemaah tetap yang menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau tersebut setiap hari. Bagaimanapun, pada malam kejadian, arwah mendirikan solat secara duduk di saf hadapan, tidak berdiri seperti kebiasaannya.

“Selesai sahaja solat, ada jemaah membantu membetulkan kedudukan arwah dan juga menghubungi ambulan serta memanggil keluarganya. Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Isteri Allahyarham, Asiah Sabtu, 68, berkata, dia amat terkejut dengan insiden yang menimpa suaminya itu sehingga menyebabkan dia pengsan sebaik tiba di surau berkenaan.
Menurutnya, pemergian arwah begitu mudah dan mengejutkan kerana tidak menunjukkan sebarang petanda.

“Cuma Jumaat lalu, arwah mencuci basikal pusaka arwah datuknya dalam hujan dan mengatakan ada orang hendak beli basikal itu selain turut menggunakan basikal itu bersiar-siar sekitar kampung,” katanya.

Asiah berkata, arwah suaminya mempunyai masalah kesihatan menyebabkannya berhenti meneruskan pekerjaan sebagai penggali kubur yang sudah dilakukan lebih 40 tahun, sejak dua tahun lalu.

Katanya, pemergian suaminya meninggalkan kesan mendalam terhadapnya dan sembilan anak mereka kerana sikap arwah yang suka mengembirakan keluarga dan rakan.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Agas, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.