Anda di sini: Laman Utama | Nasional »
Lebih 600 penduduk di Balik Pulau terjejas akibat banjir
Bernama | Kemas kini: Oktober 14, 2013
(Diterbitkan pada: Oktober 14, 2013 07:23 MYT)
BALIK PULAU: Lebih 600 penduduk terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku berikutan pertembungan hujan lebat sejak awal Ahad dengan fenomena air laut pasang besar.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata keluarga yang terjejas dengan banjir kilat itu ditempatkan sementara di balai raya serta masjid dan akan dibenarkan pulang lewat petang Ahad apabila air surut sepenuhnya.
Dr Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata kawasan kampung yang terjejas dengan banjir itu juga dilengkapkan dengan sistem saliran yang baik bagaimanapun pertembungan air laut dan air hujan mengakibatkan air melimpah keluar.
"Kalau hanya hujan biasa kawasan ini tidak akan banjir kerana kita telah perbesarkan longkang manakala sistem saliran di sini baik, tetapi hujan kali ini bertembung dengan fenomena air laut pasang besar jadi air melimpah keluar dari longkang.
"Buat masa ini bantuan segera yang diberikan ialah bantuan makanan kepada mangsa dan mereka perlu tunggu sementara waktu sehingga air surut, jangka petang ini air akan surut," katanya yang ditemui pemberita selepas melawat penduduk yang terjejas akibat banjir kilat itu.
Enam buah kampung yang terjejas teruk di kawasan Balik Pulau ialah Kampung Betong, Kampung Pinang Nirai, Kampung Genting, Kampung Terang, Jalan Baharu dan Kampung Permatang Tengah, manakala di kawasan Teluk Kumbar hanya Kampung Masjid yang terjejas.
Setakat ini 40 orang dari kawasan Balik Pulau dipindahkan sementara ke Masjid Pulau Betong manakala 30 orang dari Kampung Masjid dalam kawasan Teluk Kumbar dipindahkan ke dewan masjid, Kampung Masjid Teluk Kumbar.
Seorang peniaga nasi lemak Zainab Hussin, 59, berkata sejak pukul 8.30 pagi air naik setinggi satu meter menyebabkan banyak peralatan rumah rosak selain memusnahkan persiapan untuk menyambut Aidiladha.
"Mak cik keluar pergi berniaga pagi tadi air belum naik lagi tapi bila balik daripada berniaga tengok air sudah melimpah hingga ke jalan raya, apa pun tak dapat diselamatkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau Norasikin Md Isa berkata bomba menerima penggilan daripada penduduk sekitar 9.18 pagi memaklumkan air sudah memenuhi jalan raya dan rumah mereka.
"Setakat ini keadaan adalah terkawal, bagaimanapun pihak bomba menasihatkan agar mereka (penduduk) duduk sahaja di rumah, kerana air yang deras dan kita tidak tahu bahaya yang sedang menunggu di luar.
"Harap ibu bapa dan penjaga dapat mengawasi anak masing-masing daripada bermain air banjir," katanya yang turut memberitahu operasi itu dibantu oleh pasukan Bomba Sukarela.
Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Gohttp://onthego.astro.com.my
BERITA BERKAITAN
No comments:
Post a Comment