KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu memantau kehadiran warga Amerika Latin ke negeri ini sebagai langkah mengelak sindiket menggodam mesin teler automatik (ATM) yang dikesan baru-baru ini daripada merebak ke Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata walaupun tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden itu di negeri ini namun pihaknya mengambil pendekatan awal sebagai langkah pencegahan.

"Kita telah meminta seluruh daerah di negeri ini mempertingkatkan pemantauan di lokasi yang terdapat mesin ATM selain memantau kemasukan warga negara Latin ke negeri ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Senarai ATM digodam di empat negeri]

Sebelum ini media melaporkan sepuluh lagi mesin ATM diserang penggodam bagi mencuri wang daripada bank menjadikan keseluruhan 16 ATM digodam di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dalam tempoh 72 jam. - Bernama