MELBOURNE - Misi pencarian objek yang dipercayai ada kaitan dengan penerbangan MH370 di perairan Australia Barat bersambung pagi ini selepas ditangguh semalam akibat cuaca buruk.
  
Pihak berkuasa Australia yakin keadaan cuaca hari ini dapat membantu operasi yang juga bertujuan mengutip objek-objek berkenaan.
  
"Keadaan cuaca di kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi dijangka bertambah baik dengan keadaan angin dan laut yang bergelora semakin reda manakala hujan pula diramal berlaku secara terpencil," kata pegawai meteorologi kanan Biro Meteorologi Australia, Adam Conroy yang dipetik oleh ANC News.

Sebanyak 12 pesawat dan beberapa kapal dijangka terlibat dalam operasi hari ini.
Misi kini membabitkan enam negara iaitu Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan. India dilapor turut menawarkan bantuan.
Empat kapal China dijangka tiba di kawasan pencarian hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi jaminan bahawa Australia akan terus membantu Malaysia mengesan pesawat itu.

Beliau berkata pencarian tidak akan dilakukan untuk selama-lamanya namun Australia akan melakukan segala yang mampu sehingga tiada lagi harapan untuk menemui apa-apa.
"Kami lakukannya untuk keluarga. Kami lakukannya untuk dunia yang sedang menunggu...kami akan lakukan apa yang mampu untuk menyelesaikan teka-teki luar biasa penerbangan malang ini," beliau memberitahu TV Nine Network.
Beliau berkata Australia akan mengalu-alukan kedatangan anggota keluarga dan waris mangsa MH370 serta memberi bantuan sewajarnya sewaktu mereka berada di negara itu. - Bernama