KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju untuk menarik balik sebahagian kenyataannya mengenai kes rogol bawah umur yang dikatakan menghina kaum lain, dari Hansard Parlimen.
  
Wan Junaidi berkata beliau tidak pernah mempunyai niat jahat dan apa yang dikatakan ketika jawapan lisan dalam sesi soal jawab pada 18 Mac lalu adalah berdasarkan fakta.
  
"Saya menggunakan perkataan 'mungkin' yang menimbulkan keraguan betul atau tidak orang lain kurang sensitif (terhadap jenayah rogol), saya berlatar belakangkan fakta," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
  
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) menjelaskan apakah perkataan yang digunakan oleh Wan Junaidi yang dikatakan menghina kaum lain.
  
Chong berkata kenyataan itu ialah 'pihak lain mungkin kurang sensitif kepadanya maka nisbahnya dapat diterima, perkara yang berlaku itu boleh diterima oleh pihak-pihak lain'.

Chong juga mendesak Wan Junaidi agar meminta maaf, bagaimanapun, beliau enggan dan hanya ingin menarik balik ayat tersebut dari Hansard Parlimen.
  
"Kalau hendak minta maaf saya tidak mahu, tetapi kalau dicadang Chong keluarkan ayat itu dari Hansard, kalau itu yang dikehendaki saya setuju," kata Wan Junaidi.
  
Pandikar Amin ketika merumuskan perkara itu berkata apabila kenyataan itu ditarik balik dari Hansard, mengandaikan bahawa ia tidak dibahas di dalam Dewan Rakyat.
  
"Saya memohon kerjasama ahli-ahli Yang Berhormat termasuk menteri-menteri apabila berhujah awas sikit, jangan semua yang ditulis oleh pegawai kerajaan dibaca.
  
"Begitu juga dengan ahli-ahli Yang Berhormat bila buat soalan, jangan ada unsur kepentingan politik, kita semua adalah pemimpin yang matang," katanya. - Bernama