DIAM tak diam, Ahad lalu, selebriti kesayangan ramai, Lisa Surihani genap berusia 28 tahun. Sempena ulang tahun kelahirannya, suami tercinta, Yusry Abd Halim bersama keluarga dan beberapa selebriti meraikan hari jadi Lisa secara sederhana.

Ketika dihubungi Zass, Lisa yang ketika ini berada di Singapura kerana menjalani sesi latihan filem terbaru, Sinaran, tidak lokek berkongsi harapan sempena ulang tahun kelahirannya.

"Semalam (kelmarin) amat bermakna bagi diri Lisa, kebelakangan ini Lisa banyak fikirkan kita seelok-eloknya kena sentiasa beringat. Bukan sahaja ketika melalui dugaan, tetapi juga bila hidup kita berjalan dengan indah dan lancar.

"Sempena ulang tahun kali ini, harapan dan doa Lisa harap boleh jadi anak yang baik kepada ibu dan arwah ayah, keluarga mertua, dan seorang isteri yang menjalankan tugas yang baik kepada suami.

"Ikatan kekeluargaan yang kuat dan tempat di mana rakan baik boleh bergantung. Dari segi kerjaya, Lisa harapkan dan doakan rezeki halal dan diberi restu dari keluarga, serta diberkati, Insya Allah," katanya yang masih menganggap dirinya seorang
pelajar yang masih lagi perlu banyak belajar.

Di usik hadiah istimewa yang diterimanya daripada Yusry, Lisa berkata, majlis sambutan hari lahirnya itu adalah hadiah yang cukup bermakna diterimanya.

"Yusry memang ada tanya Lisa nak apa, tapi Lisa cakap tak perlu. Memandangkan majlis semalam (kelmarin) adalah idea dari Lisa dan ia sudah cukup bermakna.

"Lisa mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat yang dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat handai. Lisa juga selitkan tahlil juga untuk arwah ayah, beberapa saudara mara yang telah tiada.

"Selain itu Lisa turut jemput kanak-kanak istimewa, sindrom down dari Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), serta penyokong-penyokong Lisa yang banyak menyokong karier Lisa selama ini," jelasnya.

Lisa berkata, idea sambutan hari jadinya itu timbul ketika dia berborak dengan ibunya bulan lepas.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk membuat majlis dengan tema 'english vintage bunny', dan pihak WhitedistrictKL telah menyediakan satu kandang mini yang menempatkan arnab-arnab di perkarangan rumahnya.

"Alhamdulillah majlis semua berjalan lancar dan anak-anak buah Lisa juga seronok kerana dapat bermain dengan arnab-arnab yang ada," katanya.

 Filem muzikal pertama

Berkongsi perkembangan terbarunya, Lisa berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan untuk penggambaran filem Sinaran arahan Osman Ali.

Menariknya, filem tersebut menjadi filem muzikal pertama buat Lisa yang turut melibatkan kolaborasi Malaysia dan Singapura.

"Ini merupakan filem pertama yang memerlukan Lisa menari dan Lisa juga akan miming di dalam filem ini. Latihan yang kami lalui memang cukup memenatkan tapi Lisa seronok melaluinya.

"Selain Lisa, turut sama terlibat dalam filem ini adalah Izara Aisyah. Manakala pelakon dari Singapura adalah Nadiah M Din dan Evan Sanders mewakili pelakon dari Indonesia," katanya yang teruja untuk menantikan hasil filem ini.