IPOH – Niat mahu melepaskan ‘hajat’, tetapi malang menimpa.

Seorang pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi selamat apabila kereta dipandunya dilanggar sebuah trak tentera di Plaza tol Jelapang, arah Selatan di sini, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.48 pagi itu, mangsa dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Ketika kejadian, mangsa, 44 tahun dalam perjalanan dari pejabat di Taiping baharu lepas membayar tol hendak masuk ke perhentian untuk buang air kecil sebelum meneruskan perjalanan menghadiri mesyuarat.

“Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Innova memberi isyarat kiri sebelum dilanggar trak tentera” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu bagi kedua-dua kenderaan tidak cedera  dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ketika kejadian, keadaan jalan lurus dan cuaca baik selain aliran trafik berjalan lancar,” katanya.