MANJUNG - Satu pasangan yang dipercayai suami isteri ditemui tidak bernyawa dan badan berlumuran darah di rumah sewa mereka di Kampung Cina, di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa dikenali M Muniandy, 30, dan A Kaliamah, 37, ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tetakan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, siasatan awal di lokasi kejadian tidak  menemui sebarang senjata, malah tiada kehilangan barang milik mangsa dilaporkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, polis dimaklumkan terdapat pergaduhan di rumah terbabit sebelum insiden tersebut.

“Kejadian disedari pemilik rumah berkenaan dan dia kemudiannya membuat laporan mengatakan ada pergaduhan di rumah disewa pasangan terbabit.

“Polis yang bergegas ke rumah mangsa kira-kira jam 2.30 pagi mendapati, ada seorang lelaki dan wanita terbaring berlumuran darah dengan banyak bahagian tubuh cedera, dipercayai akibat ditetak,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan, kejadian itu melibatkan lebih daripada seorang suspek, bagaimanapun motif kejadian masih disiasat.

Katanya, mengikut rekod, Muniandy merupakan individu dikehendaki polis sejak 2013 kerana mempunyai sembilan kes berkaitan samun, pecah rumah selain penagihan dadah.

“Mereka mempunyai seorang anak angkat berusia dua tahun yang mengalami masalah penglihatan, buat masa ini, anak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.