PASIR PUTEH - Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti kedua-dua suspek yang menyamun dan bertindak ganas menoreh muka Nur Shafiqa, 22, dalam kejadian di Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh, Isnin lalu.

“Kami yakin dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi Wan Nor Azie Wan Hassan, 21,  balu kepada anggota polis Allahyarham Mohd Shakuan Mohd Tajuddin, di Kampung Kuchelong, Bachok.
 
Mohd Shakuan maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah van dekat pekan Jelawat, Sabtu lepas.


Dalam kejadian Isnin lalu, Nur Shafiqa mengalami kecederaan di muka akibat ditoreh dan ditumbuk oleh dua lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya selain turut mencederakan ibunya, Hat Tema Mat Zin, 58.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kes toreh muka: 'Kejam dooh nih']


Sementara itu, Puteri Umno akan mengaktifkan dengan segera tabung kebajikannya bagi membantu anggotanya yang menjadi mangsa jenayah.
 
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pengisian tabung itu akan dibuat menerusi kutipan derma anggota Umno di peringkat pusat, negeri, bahagian dan akar umbi.
 
"Dana itu penting untuk membantu anggota terutama yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan segera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Nur Shafiqa di rumahnya, hari ini. – Bernama