Saturday, 13 December 2014

Kelantan sambut baik usaha pusat tangani isu Lojing 

BERNAMA | 
 KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik usaha kerajaan pusat untuk menangani masalah pembukaan tanah pertanian yang tidak mengikut peraturan di tanah tinggi Lojing, Gua Musang.
  
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantau aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.
  
"Kita (kerajaan negeri) juga sentiasa prihatin terhadap perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Malaysia Kali ke-20 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
  
Turut hadir Presiden Pekida, Jamaluddin Yusoff.
  
"Kita ada jawatankuasa tanah tinggi Lojing dan kita ada peraturan, kita tak akan benarkan mereka (pengusaha) mengusahakan projek pertanian seandainya tidak mendapat kebenaran," katanya.
  
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata kerajaan akan bertindak habis-habisan dalam menangani masalah pembukaan tanah pertanian di Lojing yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk.
  
Katanya pembukaan tanah yang tidak terkawal hanya akan menyebabkan kemusnahan seperti kejadian tanah runtuh dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment