TUMPAT - Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menyifatkan proses pengundian awal yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini hari ini berlangsung dengan sangat baik.

Mohd Hashim berkata, peratusan yang keluar mengundi juga turut memberangsangkan kerana sudah hampir 81 peratus pengundi awal yang melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Pada hari ini, terdapat seramai 109 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi di IPD ini.

"Alhamdulillah seawal jam 8 pagi tadi sehingga jam 10 pagi ini boleh dikatakan hampir 80.7 atau 81 peratus pengundi sudah menjalankan tanggungjawab.

"Jadi saya boleh katakan pemilihan kali ini menampakkan prestasi yang cukup baik," katanya pada sidang media di IPD Tumpat di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan kempen serta adakah terdapat pelanggaran syarat daripada parti yang bertanding, Mohd Hashim berkata, setakat ini hanya tiga kes yang diterima pihaknya.

"Kita ada terima pelanggaran daripada  parti yang bertanding,  setakat hari ini kita ada menerima dua tiga kes yang mana kedua-dua parti telah terlibat iaitu berkaitan dengan pelanggaran pemasangan poster, bendera yang dipasang di lampu isyarat, serta bendera yang ditampal oleh parti yang tidak bertanding.

"Namun kes-kes ini sudah berjaya diselesaikan kerana mendapat kerjasama yang baik daripada parti yang bertanding.

"Sementara keadaan kempen setakat ini terkawal... jadi saya harap masyarakat Pengkalan Kubor terus  kekalkan keamanan ini dan berpolitik secara prinsip berkeluarga," katanya.

Pusat pengundian awal PRK Pengkalan Kubor dijangka ditutup jam 3 petang nanti.