TUMPAT - Ibu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail kecewa dengan serangan peribadi oleh pihak tertentu terhadap anaknya.
Habsah Ismail, 65, melahirkan kekecewaannya apabila ada pihak yang memfitnah  Mat Razi yang baginya merupakan seorang anak yang baik.
"Tak patut timbul isu ini dan serangan peribadi macam itu, dia baik dan tiap kali ada kematian atau tahlil memang orang akan panggil dia untuk membacakan doa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Simpangan di sini, hari ini.
Habsah berkata anaknya adalah tulang belakang bagi mereka sekeluarga dan Mat Razi memang seorang yang patuh kepada agama dan meminati pengajian Islam.
Sebelum ini, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mempertikaikan gelaran "ustaz" kepada Mat Razi dan menyifatkan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika bertugas.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kelmarin sebuah blog menyebarkan dakwaan Mat Razi mempunyai hubungan sulit dengan bekas pelajarnya.
Habsah berkata dia berharap orang ramai dapat memberi peluang kepada anaknya menabur bakti di kawasan itu.
"Saya telah berpesan kepada Mat Razi, jika sudah terpilih menjadi wakil rakyat, tanggungjawab dan amanah orang jangan  diabaikan serta perjuangan agamanya perlu diperkukuhkan lagi," katanya. 
Katanya, anak sulungnya daripada 10 adik beradik itu meminta pendapatnya terlebih dahulu apabila mengetahui terpilih sebagai calon BN.- Bernama