Sunday, 16 March 2014

SIDANG media kelmarin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan, pesawat MH370 kini bergerak ke arah barat dan menuju ke dua arah iaitu di koridor utara dan selatan.

Mengapa kod koridor digunakan? Ini kerana lokasinya luas merangkumi bahagian utara di sekitar Kazakhstan, Turkmenistan dan Tajikistan sehingga ke utara Thailand, sementara bahagian selatan di sekitar Lautan Hindi.

Terdapat dua teori yang dapat menentukan kedudukan MH370, iaitu pertama, sama ada pesawat ini terbang merentasi beberapa negara di benua Asia dan mendarat di darat sama landasan atau kawasan lapang.

Teori kedua pula, pesawat ini terbang merentasi Lautan Hindi dan mendarat di air ataupun di sebuah pulau yang mempunyai landasan kapal terbang.

Kedua-dua teori ini saling berkaitan kerana jika salah satu menunjukkan pergerakan pesawat, maka teori yang satu lagi tidak boleh digunakan.

Jika menuju ke arah utara, MH370 perlu melalui beberapa negara sebelum sampai ke destinasi misteri dituju.

Negara tersebut adalah India, Bangladesh, Myanmar dan Thailand.

Pesawat ini perlu melalui negara-negara ini sebelum terbang dengan lebih jauh dan pasukan penyiasat perlu memeriksa radar dari kesemua negara ini bagi memastikan pergerakan MH370.

Jika salah satu radar dari empat negara ini menunjukkan pergerakan pesawat mencurigakan, usaha mencari MH370 dapat diselesaikan segera.

Apa yang kita ketahui, Thailand sudah memberi kerjasama baik mengesan pergerakan pesawat menerusi radar mereka.

Sehingga kini, pasukan penyiasat masih lagi belum mendapat data dari radar India, Bangladesh dan Myanmar.

Perlu diingat bahawa jika, pesawat melalui ruang udara negara seperti India dan Bangladesh, radar tentera mereka pasti dapat mengesan pesawat itu.

Ini kerana kedua-dua negara itu mempunyai keupayaan dan radar yang canggih, namun bagi Myanmar agak sukar untuk memastikan sama ada negara tersebut
berkeupayaan radar serupa.

Sumber yang enggan dikenali memberitahu, jika India dan Bangladesh tidak menerima sebarang pergerakan pesawat, agak sukar memastikan MH370 melalui Myanmar.

"Jika pesawat melalui ruang udara Myanmar, pastinya radar China dapat mengesan, ini kerana China mempunyai keupayaan radar canggih dan kedua-dua negara itu bersebelahan," katanya.

Apa yang menjadi kesukaran adalah bagaimana Malaysia dapat meyakinkan negara-negara ini untuk berkongsi maklumat berhubung radar mereka.

India khususnya, masih lagi belum memberikan sebarang maklumat radar kepada Malaysia, namun negara itu telah menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini.

Data dari radar India amat penting dalam siasatan MH370 ini kerana negara tersebut merangkumi sebahagian besar kawasan koridor utara dan berkemungkinan besar pesawat ini melalui negara tersebut adalah tinggi.

Dalam sidang media di Hotel Sama-sama KLIA semalam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pihaknya masih cuba mendapatkan bantuan negara-negara yang terlibat.

Namun katanya, agak sukar untuk sesebuah negara memberikan data radar tentera mereka kepada negara lain.

"Kita sendiri pun sukar untuk dedahkan maklumat data tentera kita, apatah lagi negara lain," katanya, semalam.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, negara-negara seperti India, Bangladesh, Myanmar, Thailand dan negara Asean lain sedia membantu Malaysia dalam mencari MH370 ini.

Persoalannya sekarang jika bukan di koridor utara, pastinya pesawat Boeing 777 ini akan berada di koridor selatan yang meliputi bahagian selatan di sekitar Lautan Hindi sehingga ke Indonesia.

Kawasan ini meliputi 90 peratus laut yang luas dan sebahagian kepulauan Indonesia, kawasan ini juga meliputi beberapa pulau termasuk kepulauan Maldives dan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) Diego Garcia.

Jika pencarian tertumpu di kawasan ini, pasukan SAR akan menghadapi masalah untuk mencari pesawat kerana keadaan laut yang 'misteri'.

Apa yang menambah kesukaran SAR adalah tiada radar dapat mengesan kedudukan sebenar jika MH370 terhempas di Lautan Hindi kerana kapal-kapal besar tidak melalui kawasan ini.

Namun, jika pesawat ini mendarat di mana-mana pulau yang ada di kawasan ini, juga sukar untuk disahkan kerana jika ia mendarat di Diego Garcia pastinya radar tentera AS mengesannya, begitu juga jika pesawat mendarat di Maldives.

Hishammuddin juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa MH370 mendarat di pangkalan tentera AS, Diego Garcia kerana setakat ini tiada pihak menuntut wang tebusan.

No comments:

Post a Comment