DUNGUN - Rahsia tiga rakan yang menjadikan rumah mereka sebagai tempat membungkus dadah akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam serbuan di rumah berkenaan dekat Gong Pasir, di sini, malam kelmarin.

Serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail itu dilakukan hasil maklumat risikan yang mendapati suspek menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih di kawasan sekitar.

Ketika polis tiba di rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 malam, ketiga-tiga rakan terbabit dipercayai sedang membungkus dadah.

Suspek pertama berusia 28 tahun cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis sehingga berlaku pergelutan sebelum dia diberkas.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui tujuh pil kemerahan dalam poket seluar suspek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200.

Manakala, dua rakannya yang berusia 23 dan 24 tahun pula cuba bersembunyi di dalam garaj, namun berjaya dikesan.

Selepas pemeriksaan dilakukan, polis menemui 10 pil disyaki methamphetamine dalam kotak kecil di atas tong ikan.

Ketiga-tiga suspek difahamkan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan, semua suspek dibawa ke lokap Balai Polis Dungun dan ditahan reman mengikut Seksyen 12(2) serta 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tujuan siasatan.