TUMPAT – Polis menahan tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang warga emas di Kampung Kutan Hilir, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abdul Rahman berkata, suspek pertama berumur 33 tahun ditahan di sekitar Wakaf Bharu bersama dua lagi suspek, masing-masing berusia 25 tahun.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini (Rabu) untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Jalaludin berkata, siasatan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dua lagi suspek tiada rekod jenayah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang warga emas ditemui mati dengan keadaan mulut disumbat tuala selepas rumahnya dipecah masuk di Kampung Kutan Tengah.

Mayat Wan Meriam Wan Mahmood, 85, yang tinggal bersendirian di rumahnya itu ditemui terbaring di atas katil di bilik tidurnya dalam keadaan separuh bogel oleh cucunya, Mohd Faizal Abdul Samad, 30.

Dalam kejadian itu, rantai leher, gelang tangan dan baju dalam mangsa yang mengandungi sejumlah wang turut lesap.