SEREMBAN - “Saya tidak sangka kelakuan pelik arwah yang bersalam dan mencium tangan saya semasa mahu keluar rumah adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” kata Mohammad Noor Abd Majid, 51, bapa mangsa kemalangan di Kilometer 258.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) menghala ke selatan awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa, Razif Mohammad Noor, 23, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Yaziz Muhmad, 22, mengalami cedera parah selepas motosikal dinaiki hilang kawalan lalu merempuh sebuah treler.

Menurut Mohammad, pada jam 8 malam kelmarin arwah keluar rumah dan pulang semula kira-kira dua jam kemudian.

"Sepatutnya pada malam kelmarin, saya perlu mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz di Kuala Pilah, namun rawatan itu terpaksa ditunda kerana ustaz itu tiada.

“Saya pulang ke rumah, dan setengah jam kemudian arwah pun sampai lalu dia bertanyakan keadaan saya memandangkan saya ada masalah sakit perut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, semalam.

Mohammad berkata, arwah adalah anak kedua daripada tiga beradik kemudiannya memberitahu dia mahu keluar semula dan tiba-tiba bersalam sambil mencium tangannya.

"Saya rasa tidak sedap hati dengan kelakuan arwah kerana dia memang jarang berbuat demikian namun saya tidak menyangka yang bukan-bukan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila beberapa anggota polis datang ke rumahnya kira-kira jam 8 pagi dan memberitahu anaknya maut dalam kemalangan.

“Saya seperti tidak percaya, kehilangan arwah memberi kesan mendalam kepada saya kerana dia merupakan harapan keluarga kerana dia satu-satunya anak lelaki saya,” katanya.

Jenazah Razif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melang, Kuala Pilah semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa yang dipercayai dari arah Seremban menuju ke Senawang hilang kawalan sewaktu menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama rakannya lalu merempuh belakang treler.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak ke lorong tengah jalan dan digilis kenderaan lain manakala rakannya cedera parah di kepala,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superitendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu.