ALOR SETAR - Enam penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) memfailkan saman terhadap universiti itu kerana didakwa gagal memberi notis penutupannya dalam tempoh ditetapkan seperti termaktub bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Mohd Raimy Fahmy Mohd Radzi, 22, Muhamad Hanif Ahmad Fauzi, 21, Hanif Hafifi Mahali, 21, Mohamad Hanif Kamaruddin, 21, Muhammad Syafiq Abd Shamad, 21, dan Farhan Sani Safiyuddin, 20, memfailkan saman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam.

Mereka diwakili peguam, Fathima Idris . Mereka menamakan AiU sebagai defendan pertama, Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Ditemui di lobi mahkamah, Fathima berkata, plaintif membuat tuntutan supaya defendan mematuhi akta itu yang peruntukkan notis penutupannya perlu diberi dalam tempoh setahun sebelum ditutup.

“Notis bertulis  perlu diberi kepada setiap pelajar. Ini bagi membolehkan pelajar membuat persediaan berpindah atau mencari tempat pengajian lain,” katanya.

Katanya, pelajar hanya dimaklum berhubung penutupan AiU secara lisan  Februari lalu.

“Sehingga kini tiada notis bertulis dikeluarkan. Ini memberi tekanan kepada pelajar," katanya.