SUNGAI PETANI - Seorang kelindan lori berusia 21 tahun didapati positif dadah dalam serbuan Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah Syariah yang dijalankan sekitar daerah ini, awal pagi semalam.

Lelaki terbabit sebelum itu dicekup dengan pasangannya di sebuah hotel akibat berdua-duaan dalam sebuah bilik.

Dia yang berasal dari Padang Temusu mendakwa hanya singgah seketika ke bilik berkenaan yang dihuni pasangannya kerana mahu menghantar ubat gigi.

Pasangannya juga berusia 21 tahun dari Padang Serai, dipercayai berhadapan masalah keluarga dan membuat keputusan menginap di bilik hotel.

Ketika serbuan dibuat anggota penguat kuasa kira-kira jam 1 pagi, kedua-duanya mengambil masa lama untuk membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali dan mendapati wanita terbabit ditemui berbaju dan bertuala dengan keadaan bilik berselerak manakala pasangannya lengkap berpakaian.

Kedua-duanya dikenakan perintah hadir ke pejabat agama pada satu tarikh yang ditetapkan selain lelaki terbabit ditahan untuk tindakan lanjut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah.


Redah 50km temui kekasih

Selain itu, sepasang kekasih berusia 19 dan 21 tahun turut dicekup dalam premis hotel sama, awal pagi semalam.

Gadis dari Kota Sarang Semut itu dipercayai menunggang motosikal kira-kira 50 kilometer (km) untuk bertemu kekasihnya yang datang dari Ipoh sebelum berjanji bertemu di sebuah hotel di Sungai Petani.

Akhirnya, kedua-dua dicekup bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Kedah 1988.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, sepasang remaja dilihat berkelakuan tidak sopan apabila si lelaki merangkul pinggang gadis yang berusia 16 tahun berdekatan Dataran Menara Jam Besar, kira-kira jam 1.05 pagi.

Ketika disoal siasat, pasangan itu yang mendakwa hanya kenalan lama baru selesai makan malam dan singgah sebentar sebelum pulang.

Lelaki yang berasal dari Kuala Ketil, sementara gadis terbabit menetap di rumah ibu saudara dekat Taman Keladi, tidak lagi bersekolah dan mendakwa bekerja di sebuah kedai baju.

Akibat berkelakuan tidak sopan, lelaki terbabit diberi amaran dan diminta hadir ke pejabat agama bersama ibu bapa atau waris pada tarikh yang ditetapkan sementara gadis yang masih di bawah umur dibawa ke pejabat untuk tindakan lanjut.

Anggota penguat kuasa bagaimanapun terkejut apabila sepupu gadis terbabit juga berusia 16 tahun hadir ke pejabat menggantikan ibu bapa atau waris yang sepatutnya berbuat demikian.

Hasil siasatan awal mendapati, penjamin yang kononnya hadir untuk menjamin gadis terbabit juga dipercayai pernah dicekup seorang anggota penguat kuasa dalam operasi sama sebelum ini.


Tujuh pasangan dicekup

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata, sebanyak tujuh pasangan ditahan dalam operasi yang dijalankan secara bersepadu, awal pagi semalam.

Beliau yang mengetuai operasi berkata, antara lokasi panas termasuk di hotel bajet sekitar pusat bandar Sungai Petani, Amanjaya, Gurun dan Padang Temusu melibatkan 70 anggota penguat kuasa pelbagai jabatan.
“Antaranya Bahagian Penguat kuasa Jaik, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Yan, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, AADK, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan pegawai masjid.

“Satu kes disiasat bawah Seksyen 5 EKJS Kedah 1988 iaitu melakukan perbuatan atau kelakuan tidak sopan di tempat awam waktu siang atau malam yang boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau keduanya sekali jika sabit kesalahan,"
katanya.

Menurutnya, enam pasangan lain disiasat bawah Seksyen 9 EKJS Kedah 1988 iaitu bersekedudukan, berkurung, bersembunyi atau bersama wanita bukan isteri atau mahram.

“Bagi kesalahan itu, denda RM2,000 atau penjara setahun atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihati ibu bapa memantau anak gadis yang dikhuatiri keluar pada waktu malam.
Katanya, laporan polis dibuat dan siasatan diteruskan sama ada kes akan dibawa ke perbicaraan mahkamah syariah.
Beliau turut bimbang dengan pertambahan hotel bajet termasuk yang terlindung di sebalik lokasi perindustrian, dengan menawarkan pakej serendah RM30 seperti yang didakwa pasangan terbabit.

Operasi yang bermula jam 11 malam itu berakhir sekitar jam 5 pagi.