Monday 28 April 2014



Dilema pegang tanggungjawab

Saya berumur 15 tahun dan bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Saya mempunyai pengalaman menjadi ketua tingkatan sejak tahun lalu. Saya tidak mahu lagi menjadi ketua tingkatan, tapi atas permintaan beberapa orang guru, saya sanggup memikul tanggungjawab ini.
Murid dalam kelas saya ini mempunyai pelbagai kerenah. Majoritinya sangat degil dan tidak pernah mengalah dalam banyak hal. Kadangkala guru di hadapan pun tidak dipedulikan. 
Apabila ditegur, saya akan dimarahi semula. Arahan daripada saya, penolong dan cikgu berlalu seperti angin kosong. 

Saya tidak dapat mengawal kelas dengan cara baik. Pada masa sama turut tertekan dengan sistem pendidikan yang asyik bertukar.

Saya dan guru tingkatan sering bekerjasama untuk menangani sikap pelajar dalam kelas. Saya takut keadaan dalam kelas akan mempengaruhi pencapaian akademik. Tambahan pula, saya betul-betul tidak tahu apa yang hendak dilakukan lagi apabila ada guru mencadangkan saya untuk jadi pengawas tahun depan.

Saya pernah terfikir hendak menerimanya dan pada masa yang sama menolak. 

Apa yang saya fikir sekarang ialah mahu cemerlang dalam akademik, tapi tidak kena pada suasana dalam kelas. Kadangkala saya rasa diri tidak berguna bila guru naik angin dengan sikap pelajar dalam kelas. 

Guru pula menaruh harapan yang tinggi supaya mencapai keputusan cemerlang. 

Saya baru saja menerima keputusan peperiksaan pertengahan penggal satu. Ia tidaklah sebaik mana kerana gagal satu subjek. Guru memang kecewa dengan keputusan itu menyebabkan saya semakin tertekan. 

Saya tertekan sebagai ketua tingkatan dan pada masa sama sebagai pelajar yang ingin memperoleh keputusan cemerlang. Apa perlu saya buat. 

KETUA TERTEKAN, 
Sarawak
 


Tahniah kerana adik menjadi pemimpin di sekolah. Tanggung jawab pemimpin adalah satu amanah. Dr tahu bukannya mudah untuk menjadi seorang pemimpin pelajar yang baik. 

Banyak elemen positif yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin pelajar antaranya berminda positif dan terbuka, sentiasa belajar, bijak dan mahir berkomunikasi. 

Seorang pemimpin pelajar juga sukakan kemajuan dan perubahan, bersifat adil dan saksama. Pemimpin cemerlang lahir daripada sikap ingin sentiasa melakukan yang terbaik. 

Sistem pendidikan dirangka dan dijalankan untuk kebaikan bersama seperti pelajar, ibu bapa, guru, pihak sekolah dan masyarakat umum. 

Dr amat yakin sistem pendidikan yang berubah bertujuan meningkat kualiti pendidikan. 

Mengenai kenakalan rakan adik dalam kelas, mereka berada dalam peringkat awal remaja iaitu memiliki sifat ingin tahu dan mencuba. 

Namun ini tidak bermakna mereka boleh melanggar disiplin atau peraturan ditetapkan di sekolah. 

Sebagai seorang pemimpin pelajar, adik perlu bersifat tegas dalam mendisiplinkan mereka. Dr tahu ia bukan sesuatu yang mudah. 

Dr percaya adik boleh melakukannya. Mintalah nasihat dan bantuan daripada guru dan pemimpin pelajar yang lain. 

Pelajaran adalah penting dan adik perlu fokus jika ingin cemerlang. Kata hikmah ada mengatakan, orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang. 

Berkaitan dengan sikap serba salah sama ada ingin memikul tanggungjawab sebagai pemimpin di sekolah, adik perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mampu mengalas tanggungjawab diberikan itu. 

Adik juga tidak perlu memikirkan sangat mengenai orang lain kerana orang yang paling mengetahui keupayaan adik ialah diri sendiri. 

Namun, jika masih berminat memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, adik perlu bijak membahagikan masa. Adik juga boleh mendapat sokongan daripada guru, kaunselor sekolah dan rakan-rakan. 

Adik boleh berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk mencari kaedah pengurusan masa dan emosi. Tentunya banyak petua dan panduan yang boleh diberikan kepada adik. 

Kerisauan dan tekanan tidak boleh adik simpan sendiri. Ia perlu dikongsi dengan pihak yang dapat membantu. 

Bantuan dan bimbingan diperoleh dapat membantu adik meningkatkan tahap kepimpinan. Dr harap adik dapat menggunakan sistem sokongan dan kemudahan yang ada di sekolah untuk membantu menjadi pelajar dan seterusnya pemimpin yang baik. 

Bak kata pepatah, ‘kesempatan yang kecil sering kali permulaan kepada usaha yang baik, dan ‘kemahiran dan ilmu semakin banyak digunakan semakin banyak diperoleh’.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/28

No comments:

Post a Comment