PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho berkata, tiada apa yang salah mengenai strategi bertahan digunakan skuadnya ketika menewaskan Liverpool di Anfield, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas corak permainan The Blues dikritik oleh pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang menganggap taktik yang digunakan Mourinho telah menghalang asakan anak buahnya untuk membolosi gawang lawan.

"Itu permainan bertahan. Saya bingung dengan apa yang difikirkan media soal permainan bertahan. Ketika sebuah pasukan bertahan dengan baik anda menuduh mereka menang kerana taktik sebegitu.

"Tapi ketika sebuah pasukan bertahan dengan buruk dengan dibolosi dua atau tiga gol, anda sama sekali tidak membicarakan mengenai soal itu.

"Bagi saya senang, mana-mana pasukan yang mempamerkan aksi cemerlang, merekalah yang akan menang dan Chelsea layak menang pada malam ini (kelmarin)," katanya.

Pada masa sama, ketika diasak pertanyaan media, Mourinho berulang kali menegaskan menjuarai EPL bukan sasaran utama The Blues, musim ini.

"Kami sudah membicarakan hal ini sejak dulu lagi. Kami tidak rasa Chelsea mempunyai kesempatan untuk menjadi juara.

"Ketika ini, kami hanya ingin menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus layak ke Liga Juara-juara musim depan secara automatik," katanya.