KUALA TERENGGANU - Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), termasuk Menteri Besar perlu mencapai 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memenuhi 11 Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) menerusi Program Transformasi Terengganu (TTP) yang dilancarkan secara rasminya, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, KPI yang ditetapkan itu adalah bagi menyokong matlamat SKRA sebagai jentera utama bagi mencapai status Negeri Maju 2020.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, SKRA yang dilaksanakan itu selari dan berpandukan apa yang dilaksanakan kerajaan Pusat melalui Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

“Untuk Terengganu, tempoh perlaksanaan yang dibuat adalah setiap satu penggal iaitu lima tahun dan kita akan teruskan sehingga 2020 bagi mencapai sasaran negeri maju. Melalui perjanjian persefahaman yang dibuat, Pemandu berperanan memantau, memperhalus dan memimpin pelaksanaan TTP.

“Ia termasuk membantu kita untuk mencapai objektif SKRA dan KPI yang ditetapkan. Berdasarkan pengalaman yang ada pada Pemandu, saya rasa ia lebih mudah kerana mereka akan membimbing kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Abdul Latiff Awang dan anggota Exco yang lain.

Ahmad berkata, Terengganu menjadi negeri pertama yang menjalankan usaha sama dengan Pemandu dalam mencapai KPI dan SKRA negeri.

“Setiap Exco termasuk saya sendiri mempunyai KPI yang perlu dicapai. KPI yang perlu dicapai atas kapasiti portfolio saya misalnya adalah menyediakan 10,000 unit rumah untuk tempoh lima tahun. Tetapi berdasarkan apa yang telah kita buat, saya lihat tiada masalah dan kita boleh bina lebih daripada 10,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun.

“Kita tahu kita antara negeri yang terkebelakang dan kita perlu bergerak pantas untuk mencapai status Negeri Maju 2020, kerana itu kita perlu menggandakan dari apa yang dibuat oleh kerajaan Pusat,” katanya.