Saturday, 1 August 2015

HARI KIAMAT

Antara rukun keimanan adalah meyakini bahawa hari kiamat itu adalah benar dan bagi keseluruhan alam ini ada kesudahan dan penghujungnya. Al-Quran menjelaskan bahawa dunia ini merupakan tempat persinggahan sementara dan hari Kiamat itu adalah suatu kepastian. Allah s.w.t. telah merakamkan gempita dan keadaan sebahagian insan pada hari kiamat melalui firmanNya di dalam surah Abasa ayat 33-37 yang berbunyi:

Ertinya: “Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibu serta bapanya, dan isteri serta anak-anaknya; kerana bagi setiap insan pada hari itu, ada kesibukkan dirinya sahaja.”

Bayangkan saudara sekalian, di dunia ini kita telah mendengar bahkan melihat bagaimana seorang ibu atau bapa sanggup mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan mereka yang tersayang. Kita tidak akan sanggup meninggalkan orang yang kita amat sayangi dalam penderitaan. Namun, lantaran kedahsyatan hari Kiamat nanti, kita tidak akan sempat mengingati keadaan mereka. Semuanya di padang Mahsyar berada dalam keadaan takut dan risau akan hal keadaan sendiri. Cukup baginya hal keadaan dan dosa kesilapannya; jangan sampai ada orang lain yang ingin menuntut apa-apa dari dirinya. Begitulah keadaan orang yang lalai akan amalan agama.

Adapun orang beriman dan ahli keluarganya, keadaan mereka terpelihara dengan rahmat Allah s.w.t. Allah berfirman dalam surah Al-Thur ayat 21:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, dan zuriat keturunan turut sama beriman, akan Kami pertemukan zuriatnya dengan mereka (di dalam Syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; setiap insan terikat dengan amal yang dikerjakan..”

Namun saudara, pernahkah kita bertanya mengapakah harus kita ini beriman dengan Kiamat? Apakah kesan yang diharapkan daripada keimanan ini? Adakah cukup setakat kita mengetahui tanda-tanda kiamat dan kita cuba mencarinya sahaja? Atau sebenarnya tujuannya lebih mendalam dan meluas? Pernah diriwayatkan Imam Muslim dari Anas r.a. bahawa seorang Arab badawi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: “Ya Rasulallah, bilakah hari kiamat akan tiba?” Rasulullah s.a.w. membalas dengan soalan yang amat penting: “Apakah yang telah kamu sediakan untuknya?”

Subhanallah, ada kalanya didapati sebahagian daripada kita lebih teruja untuk mencari tanda-tanda kiamat dan meneka bilakah ia akan tiba, ibarat ia satu perlumbaan. Sedangkan antara tujuan mengenal atau mencari tanda tersebut adalah agar kita insaf memikirkan tentang persiapan kita untuk berhadapan dengan hari kiamat. Apakah amalan-amalan yang akan kita persembahkan di hadapan Allah nanti?

No comments:

Post a Comment