Tiada siapa berhak halang PM rasmi majlis MIC
Bernama
Tiada mana-mana pihak berhak menghalang perdana menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menghadirkan diri merasmikan Perhimpunan Agung MIC yang akan berlangsung pada 6 dan 7 November ini.
Bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata ini kerana Najib adalah pemimpin negara yang dipilih rakyat dan MIC sekarang berada di bawah kepimpinan presiden baru, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang diiktiraf perdana menteri.
"PM (perdana menteri) mengiktiraf Datuk Subramaniam sebagai pemimpin MIC dan tiada siapapun boleh menghalang PM. PM adalah pemimpin utama negara ini.
"Saya yakin segala mesyuarat dan perhimpunan akan berlangsung dengan baik dan penuh disiplin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Bersempena Musim Perayaan Deepavali 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.
Samy Vellu yang juga Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal mengenai penyokong Datuk Seri G Palanivel meminta Najib supaya tidak hadir pada Perhimpunan Agung MIC.
Ramai ahli kembali ke pangkuan
Penyokong Palanivel mendakwa tiada kebaikan sekiranya Najib hadir dan merasmikan perhimpunan agung itu sebaliknya ia akan memecah-belahkan komuniti kaum India di negara ini.
Kumpulan itu turut dipetik oleh portal berkenaan sebagai berkata mereka tidak teragak-agak untuk memprotes pada perhimpunan agung berkenaan bagi menghentikan ia daripada berlangsung.
Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata para penyokong yang mendakwa bersama Palanivel pada masa ini tidak pun mencecah 1,500 orang malah Dr Subramaniam sudah membawa balik kebanyakan mereka ke pangkuan parti.
"Masyarakat India akan sedar keharmonian negara ini terpelihara di bawah BN yang mana Datuk Seri Najib pemimpin yang akan membawa rakyat ke arah kesejahteraan... mereka yang bising ini akan menyesal kemudian," katanya.
Samy Vellu mendakwa Palanivel gagal memimpin parti dengan baik sepanjang empat tahun lepas semasa menjadi presiden sehingga membawa pelbagai masalah kepada parti.
"Kalau beliau mempedulikan parti sudah pasti beliau akan diangkat sebagai pemimpin terbaik hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Samy Vellu berkata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan adalah seorang pemimpin berpendidikan, berpengalaman dan pintar yang boleh membawa pembaharuan baik kepada parti.
"Isu PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang bukan hanya melibatkan Datuk Seri Subramaniam tetapi keseluruhan MIC perlu bekerja kuat. Saya sendiri akan membantu Datuk Seri Subramaniam untuk mencapai matlamat itu," katanya.
- Bernama