Sunday 23 August 2015

KAJANG - Seorang peniaga pasar malam ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Cheras Jaya, di sini, dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu oleh seorang lelaki yang kebetulan sedang memancing di kolam berhampiran.

Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam kawasan semak.

“Siasatan forensik mendapati mangsa yang berpakaian singlet berwarna hitam, seluar panjang dan berselipar serta mempunyai kesan luka di leher, bahu kiri, dan belakang kepala.

“Dua buah telefon bimbit turut ditemui pada poket kiri seluar mangsa,” katanya.

Willey berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah mati sejak dua hari lalu dan mengalami kesan kecederaan pada kedua-dua tangannya dipercayai cuba mempertahankan diri ketika diserang.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan berikutan penemuan serpihan pemegang senjata pedang yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal juga mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau.  Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

1 comment: