GEORGETOWN - Buta mata, bukan buta hati. Itulah yang dibuktikan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) di sini apabila dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Razlan Ibrahim Mukhtar yang mengalami masalah penglihatan akan melanjutkan pelajarannya dalam bidang Inovasi Perniagaan dan Keusahawanan di sebuah universiti di Australia.

Sebelum ini pemuda berusia 21 tahun itu mendapat keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dalam bidang perniagaan.

Razlan Ibrahim berkata, menjadi impiannya untuk belajar ke luar negara dan tidak menyangka akan tercapai tidak lama lagi dengan bantuan masyarakat  yang prihatin.

Menurutnya, Julai lalu, setelah menerima tawaran dari universiti luar negara, dia berasa gelisah kerana bimbang tidak dapat menerimanya akibat kos pembelajaran yang begitu mahal.