SANDAKAN - Seorang murid Tahun Satu mengalami cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintasi jalan raya di hadapan sekolahnya di Jalan Cecily Utara Batu 4 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohd Zul Hakeem Hamsah, 7, belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew.

Dalam kejadian 5.50 petang itu menyebabkan mangsa mengalami patah kaki kanan dan masih menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan, katanya di sini hari ini.

Rowell berkata pemandu kereta berkenaan sudah tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan itu.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu turut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Zabir Aripin di talian 089212222 (sambungan 254). - Bernama
  O