PENGENDALI Korea Selatan, Hong Myung-Bo mengumumkan peletakan jawatan selepas prestasi mengecewakan skuad itu di Piala Dunia.

Pada kempen kali ini, Korea menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata.

Prestasi buruk Taeguk Warriors mendapat kritikan dan cemuhan peminat sekembalinya mereka dari Brazil.

Meskipun Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) masih memerlukan khidmatnya, namun Myung-Bo berkata, sudah tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri dan memberi peluang kepada individu lain.

"Hari ini (semalam), saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih. Sejak jadi pemain sehingga jurulatih, saya menghabiskan 24 tahun di skuad kebangsaan.

"Malah sebelum berlepas ke Piala Dunia, saya selalu mengingatkan kepada pemain bahawa mereka adalah harapan kepada rakyat Korea, namun mereka mengecewakan harapan itu. Saya benar-benar minta maaf," katanya pada sidang media di Seoul.

Difahamkan, keputusan Myung-Bo dibuat selepas seminggu beliau menerima lantikan daripada KFA agar terus membimbing skuad itu sehingga Piala Asia 2015.

Untuk rekod, Myung-Bo adalah pemain pertahanan dan kapten skuad kebangsaan dalam Piala Dunia 2002 yang menyaksikan Korea Selatan ketika itu layak ke separuh akhir.

Beliau mengambil alih sebagai jurulatih pada Jun tahun lalu selepas peletakan jawatan Choi Kanghee.