PASIR MAS - Pemuda Umno mahu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolong golongan gelandangan dan pengemis di ibu negara.
  
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya berharap kementerian tersebut dan DBKL dapat bekerjasama supaya NGO dapat meneruskan usaha mereka membantu golongan berkenaan.
  
"Kalau sekiranya ada NGO yang ingin membantu dari segi pemberian makanan dan sebagainya mereka harus dibenarkan untuk berbuat demikian.
  
"Dari segi tempat boleh ada perbincangan dengan DBKL supaya pemberian itu dapat diberikan secara tersusun di kawasan yang sesuai," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Pengagihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di sini, hari ini.
  
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilaporkan berkata kementeriannya bersama DBKL akan mengenal pasti lokasi sesuai bagi penempatan golongan itu dengan menyediakan bangunan seperti konsep 'Anjung Singgah' yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
  
Antara yang akan disediakan di premis itu adalah makanan berkhasiat secara percuma dan NGO dialu-alukan  menyumbang makanan. - Bernama