GEORGETOWN - Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan, Norain Nasuha Shukri, yang dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) dilapor dalam keadaan stabil.
  
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata kanak-kanak itu masih dirawat di wad biasa Hospital Pulau Pinang.
  
Beliau berkata, keputusan sampel darah pesakit, yang diambil kali kedua pada Rabu lepas, dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.
  
"Berdasarkan laporan kesihatan kanak-kanak itu, pesakit belum boleh berjalan dengan baik dan perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk tempoh tertentu.
  
"Kami masih menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana dan di mana pesakit itu dijangkiti virus berkenaan kerana kanak-kanak itu dijaga oleh neneknya di Bagan Jermal, Butterworth pada siang hari dan pulang ke rumah keluarganya di Lunas, Kedah selepas ibunya tamat bekerja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 
 
Norain Nasuha disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lepas adalah positif.
  
Kes itu merupakan yang ketiga selepas murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli, 12, dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini.

Muhammad Ammar Muqrish kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas manakala remaja terbabit masih dalam proses pemulihan.
  
Sementara itu, Dr Lailanor berkata laporan perubatan Muhammad Ammar telahpun dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
  
"Jawatankuasa khas yang ditubuhkan sebelum ini telah bermesyuarat dan meneliti laporan perubatan kanak-kanak itu serta mengesahkan pesakit berkenaan memang positif JE," katanya.
  
Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan pengesanan kes secara aktif dan langkah kawalan serta pencegahan di kawasan Kampung Selamat dan Bagan Jermal bagi memastikan tiada penularan virus JE.
  
Setakat ini, tiada kes baharu dilaporkan di negeri ini, katanya. - Bernama