Saturday, 1 March 2014

SEORANG bapa kepada tiga anak tergamak mencuri duit tabung di sebuah masjid di Kuala Terengganu, atas alasan tidak memiliki pekerjaan, serta dalam masa sama mendakwa terpaksa menanggung anak dan isteri.

Nazawawi @Shafunizam Md Nor, 38, dari Kampung Kepong, Taman Desa Sepakat, di sini, dijatuhi hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pada 14 Februari lalu selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai sebanyak RM332.80 di Masjid Tengku Sulung Kuala Ibai, di sini, pada 10 Februari lalu lebih kurang jam 11.30 pagi.

Dipenjara 9 bulan

Dalam satu perbicaraan kes yang berasingan pada 21 Februari lalu, mahkamah majistret menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang lelaki kerana mencuri duit tabung masjid di Kampung Tok Ku, Kuala Terengganu selepas tertuduh, Mohd Hafizul Hashim, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mohd Hafizul yang beralamat di Jalan Panji Alam dituduh mencuri duit tabung derma Masjid Tokku,  Chabang Tiga sebanyak RM239, kira-kira jam 10.30 pagi.

Gantung motosikal pencuri

Dalam satu kejadian pada 13 Februari tahun lalu di Marang, penduduk Kampung Surau Haji Mat Zain di sini, berang kerana gagal menangkap dua lelaki dipercayai cuba mencuri wang tabung masjid bertindak menggantung motosikal ditinggalkan suspek pada sebatang tiang telefon.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, seorang penduduk yang kebetulan lalu di kawasan masjid ternampak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan berada di dalam perkarangan masjid kampung itu.

Sindiket curi motosikal di masjid tumpas

Dalam pada itu, polis Dungun pada 18 September tahun lalu berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal didalangi pelajar sekolah menengah berikutan tertangkapnya empat pelajar dipercayai terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Semua suspek masing-masing berusia 13 dan 14 itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Kampung Sura Jetty, Taman Rakyat Jaya, Kampung Batu 48 dan Pak Sabah.

Sasaran utama mereka adalah di tempat awam seperti kawasan masjid dan kediaman penduduk.

No comments:

Post a Comment