NEW DELHI - INDIA. Walaupun selepas menerima SMS dari Malaysia Airlines yang meminta keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 supaya menganggap orang kesayangan mereka telah tiada, namun masih terdapat anggota keluarga yang tidak percaya dengan apa yang mereka baca dan dengar. 
Warga India, Pralhad iaitu suami kepada Kranti Shirsath, 44, yang merupakan antara penumpang pesawat tidak mahu menerima nasib yang menimpa isterinya. 
"Malah selepas menerima SMS mereka, saya tidak percayakan mereka. Saya masih yakin pesawat MH370 akan ditemui," katanya di rumahnya di Bhugaon, Pune, Maharashtra kepada DNA, sebuah harian berbahasa Inggeris. 
Buat beberapa hari, keluarga itu berdoa agar anggota keluarga mereka yang merupakan bekas pensyarah kimia akan kembali dengan selamat. 
Mangsa bercadang balik ke India bersama suaminya yang bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia. 
Pralhad yang sedih berkata “kami diminta menonton televisyen mengenai pengumuman perdana menteri Malaysia. Sejurus sebelum pengumuman itu, saya menerima SMS yang mengejutkan saya." 
Beliau berkata beliau tidak sampai hati untuk memberitahu anak-anak lelakinya yang sangat berharap kepulangan ibu mereka. 
"Saya tidak mahu mengecewakan mereka tetapi saya berharap mereka mendengar mengeninya. Saya masih tidak faham apa asasnya kenyataan ini dibuat. Sekiranya benar, mengapa telefon selular sesetengah penumpang masih berbunyi jika sekiranya mereka lemas." 
Lima dari 227 penumpang pesawat itu merupakan warga India dan tiga daripadanya merupakan satu keluarga.
  Mereka dikenali sebagai Chetna Kolekar, 55, Swanand Kolekar, 23, Vinod Kolekar, 59, Chandrika Sharma, 51, dan Kranti Shirsath, 44. - Bernama