SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bimbang dengan situasi yang melanda negara kini.
Ujarnya, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa Malaysia akan berada dalam situasi yang serumit hari ini.
"Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan.
"Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah," katanya menerusi entri terbaharu di Facebooknya hari ini.
Katanya, ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai mata wang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan peribadi.
"Lebih menyedihkan, antara sumber wang ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
"Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup," katanya.
Oleh itu, Muhyiddin berkata, beliau tertanya-tanya dengan apa yang berlaku di negara kita kerana apa yang berlaku kini sangat 'dahsyat'.
"Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah.
"Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku.
"Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata? Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?, soalnya.
Namun ujarnya, walaupun jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang beliau temui, beliau tahu bahawa  jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan.
"Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik," katanya.
Katanya lagi, semua rakyat  berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada negara kita.
Untuk itu, bagi beliau dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
"Justeru, saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin, seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama anda dalam perjuangan ini!, katanya.