PEKAN - Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kelebihan tersendiri sehingga berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Menteri Besar Pahang itu berkata, tidak banyak menteri Kabinet yang dapat menyaingi pencapaian yang dilakukan oleh Najib semasa menerjui beberapa kementerian seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran sebelum dilantik menjadi perdana menteri.
"Setiap kementerian yang diterjui, beliau menunjukkkan pencapaian yang membanggakan. Minta maaf saya katakan tidak ramai menteri kabinet yang boleh capai pencapaian seperti 'benchmark' (tanda aras) beliau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tahlil, doa selamat dan solat hajat perdana sempena 40 tahun penglibatan Najib dalam kerjaya politik dan pentadbiran kerajaan di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Adnan berkata, semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dari 1982 sehingga 1986, beliau turut membawa banyak perubahan termasuk mewujudkan Yayasan Pahang
yang sehingga kini telah banyak membantu pelajar dari negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Adnan berkata selain itu sejumlah 12,000 hingga 14,000 rakyat Pahang
mendapat peluang pekerjaan dengan pembukaan kawasan industri Gebeng yang dirancang oleh perdana menteri ketika itu.
Menurutnya pembukaan kawasan industri Gebeng ini juga telah menarik lebih banyak syarikat dari luar negara melabur di negeri ini, sekali gus berjaya meningkat pendapatan kerajaan negeri ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment