Saturday 27 February 2016

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan. Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung. Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden? Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti. Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion. Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden. Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO. Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden. Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti. Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan. MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.

No comments:

Post a Comment