Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau kini bebas untuk bersuara terutama melibatkan Umno kerana beliau sudah tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan. – Gambar FMT
Selepas beberapa jam Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar Kedah, anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata beliau bebas berkata apa saja selepas ini memandangkan sudah tiada sebarang jawatan.
“Saya dah bebas. Tak ada jawatan kerajaan, jadi saya boleh cakap apa yang saya suka,” katanya di balai ketibaan di Lapangan Terbang Subang, hari ini.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan lebih lantang mengkritik sebarang salah laku pucuk pimpinan parti, atau tidak.
“Saya cuma nak cakap mengenai apa yang penting untuk parti. Jadi kalau ada sebarang kesalahan yang dibuat pucuk pimpinan kita, saya ingat itu perlu didedahkan.
“Kita kena bercakap mengenai hal itu supaya parti semakin kuat kerana sekarang ini kalau kita tanya rata-rata pandangan ahli sendiri, kalau tidak ada pertukaran di peringkat pucuk pimpinan parti, peluang kita menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sangat kelam,” katanya.
Kemelut politik Kedah selesai selepas Mukhriz meletak jawatannya serta merta berkuatkuasa hari ini susulan hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, pihak Istana Kedah sudah memaklumkan kepadanya semalam, beliau tidak lagi menerima sokongan majoriti.
Sekitar jam 5.30 petang tadi, beliau disambut kira-kira 50 penyokongnya sambil menyorak “Hidup Mukhriz” sebaik saja tiba di balai ketibaan lapangan terbang Subang.
Beliau kelihatan tenang dan tersenyum sambil melayan penyokong yang ingin bergambar dengannya.
Bakal menteri besar baharu Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berjaya merampas jawatan tersebut daripada Mukhriz dalam masa 2 minggu selepas mengetuai 14 ketua Umno bahagian pada satu sidang media 20 Januari lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz dan menggesa beliau diganti.