Monday 1 February 2016

Rajinikanth guna khidmat 100 pengawal peribadi SELASA, 2 FEBRUARI 2016 - 12:19PM Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my Rajinikanth (tengah) dikawal pegawai setibanya di KLIA dari Chennai, India semalam. KUALA LUMPUR: Bintang mega, Rajinikanth, menggunakan khidmat 100 pegawai peribadi dalam kunjungan kali kedua ke Malaysia bagi menyambung penggambaran filem baharunya, Kabali, yang bermula di sini, hari ini. Aktor berusia 64 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dari Chennai, India, kira-kira jam 6.15 petang semalam sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk meneruskan tugasan di lokasi yang dirahsiakan. Sumber berkata, pihak pengurusan terpaksa mengetatkan kawalan dengan menyediakan petugas keselamatan lebih ramai berbanding 60 orang pada sesi penggambaran pertama, Oktober tahun lalu, bagi mengelakkan gangguan. "Pada penggambaran awal di sini termasuk di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Indah, Selangor, lebih 1,000 hingga 2,000 peminat berkumpul di lokasi. Keadaan kadang kala menjadi tidak terkawal sekali gus membuatkan Rajinikanth hilang tumpuan. "Jadi, untuk mengelakkan kerja penggambaran tergendala serta mengurangkan gangguan, mereka yang terbabit dalam Kabali diminta merahsiakan banyak perkara, terutama lokasi bintang ini berada. "Rajinikanth seorang superstar yang ramah dan tidak sombong. Rasanya, beliau tidak mahu peminat terasa dipinggirkan andai beliau tidak menyahut panggilan atau enggan 'berselfie'. "Tidak salah rasanya jika beliau menolak permintaan bergambar dengan peminat. Tentu beliau bimbang lokasi penggambaran tersebar di laman maya gara-gara gambar itu, sekali gus membuatkan seluruh produksi terkena tempias," kata sumber yang juga kru teknikal filem terbabit. Kabali ialah filem ke-159 lakonan legenda filem Tamil itu, malah difahamkan bayarannya mencecah RM35 juta, jumlah yang juga lebih tinggi daripada kos penerbitan filem arahan Pa Ranjith. Pelakon itu membawakan watak ketua mafia, mengambil inspirasi daripada kisah benar yang pernah diangkat ke layar perak berjudul Departed lakonan Jack Nickholson. Dijangka ditayangkan pada 14 April 2016 di lebih 7,000 pawagam seluruh dunia, selain Malaysia, filem ini turut dirakam di Chennai. Selepas ini, produksi terbabit akan menamatkan penggambaran di Bangkok, Thailand. Membariskan pelakon dari India seperti Kalaiarasan, Dinesh, Radhika Apte, Dhansika, Ramesh dan John Vijay, tiga pelakon tempatan iaitu Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim serta Zack Taipan turut diundang membintangi filem gangsterisme ini. Sementara itu, sumber berkata, tayangan gala secara besar-besaran bakal diadakan di Kuala Lumpur menjelang pertengahan tahun ini dengan pelancarannya disempurnakan bintang yang mendapat gelaran Raja Wayang Selatan India itu. "Kisah Kabali adalah mengenai masyarakat India di Malaysia dan tidak hairan 80 peratus lokasi penggambarannya dilakukan di sini dengan keseluruhan masa penggambaran hampir dua setengah bulan, manakala di Chennai 25 hari, Goa (20 hari) diakhiri Bangkok (3 hari)," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/120400?m=1

No comments:

Post a Comment