ALOR SETAR - "Saya yakin akan ada perubahan jawatan menteri besar," kata Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, semalam, sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertemuan tertutup ketua-ketua Umno bahagian Kedah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman Perdana Menteri di Langgak Duta, Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut Tajul, apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah apa yang terbaik untuk parti dan negeri.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ketua-ketua Umno cawangan di seluruh negeri supaya mematuhi ketetapan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung kemelut itu.
“Akan sampai masa ketua bahagian akan jumpa ketua cawangan dan ahli untuk terangkan apa yang berlaku," katanya.
Menurutnya, semua ketua Umno bahagian akan turun memberi penjelasan kepada ketua-ketua cawangan juga semua ahli akar umbi berhubung rasional tindakan 14 ketua Umno bahagian di negeri ini hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir yang dibuat pada sidang media 20 Januari lalu.
Tajul yang juga anggota exco kerajaan negeri berkata, apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan parti dan juga negeri, dan mereka mempunyai alasan tersendiri untuk bertindak demikian.
“Apa yang kami buat adalah atas tanggungjawab kami sebagai pemimpin.
“Kami pun mahu sesuatu yang terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan sebahagian ketua cawangan yang bangkit memprotes tindakan  ketua- ketua Umno bahagian berhubung isu itu yang dibuat tanpa pengetahuan mereka, Tajul berkata, pihaknya bertindak secara rasional, bukan terburu-buru seperti didakwa.
“Apa pun yang kami buat, demi kebaikan negeri. Kita tak mahu pergi ke cawangan-cawangan lagi buat masa ini, tunggu masa sesuai,” katanya.