7

Bukan mudah mempertahankan perkahwinan lebih lima dekad. Apatah lagi ketika apa sahaja tentang diri mereka menjadi perhatian 30 juta rakyat Malaysia.

Tetapi, selama 56 tahun bersama, Tun Mahathir Mohamad dan pasangannya Tun Siti Hasmah membuktikan perkara itu tidak sesusah mana, asalkan betul caranya.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Putrajaya baru-baru ini, Hasmah mendedahkan hubungan unik mereka yang lebih gemar memilih cara senyap jika “berperang” atau berselisih faham.

“Kalau ada apa yang dia tak suka dia akan beri kamu 'layanan senyap', tak mahu bertegur, sehinggalah kamu sedar sendiri. Dan kemudian tiba-tiba dia akan kata 'helo, kamu OK?',” katanya sambil ketawa kecil.

Malah, beliau menyifatkan lelaki yang kebetulan seniornya di Kolej Perubatan King Edward VII (kemudian bergabung membentuk Universiti Malaya) di Singapura itu juga menggambarkan keadaan Mahathir ketika merajuk.

“Oi, macam budak kecil!” katanya spontan yang mengundang gelak ketawa, sekali gus menceriakan keadaan.

Romantik cikgu tutor

Kami mewawancara Hasmah dalam sebuah bilik Yayasan Kepimpinan Perdana yang Mahathir menjadi penasihat kehormatnya.

Dalam bilik itu, walaupun tanpa kata-kata, kasih sayang mereka jelas terpampang melalui gambar-gambar dan potret yang tergantung di dindingnya.

Pelbagai gambar beliau dan Mahathir serta anak-anak mereka menghuni rak hiasan – romantik cara mereka, walaupun Mahathir daripada segi penampilan nampak seperti garang dan tegas.

“Beliau tidaklah keras sangat. Cuma kedudukan beliau buatkan beliau nampak begitu sampai ada orang jumpa beliau di pejabat menggeletar...

“Saya cakap you nampak garang sangat,” katanya yang menasihatkan Mahathir lebih banyak senyum.

Bagaimanapun, kata Hasmah, ketika masih muda remaja, Mahathir memang romantik dengan caranya sendiri.

“Perkara pertama beliau buat untuk saya adalah dengan jadi tutor saya. Beliau budak cemerlang dalam fizik. Saya pula sangat lemah dalam subjek itu.

“Saya gagal tahun pertama kerana hanya dapat 1A, itu dalam bahasa Inggeris. Beliau dapat 3A. Yang lain 8A, 9A, mereka (orang lain) kata, 'balik kampunglah',” kata Hasmah lagi.

Janji temu Marine Parade

Mengenang lebih jauh, Hasmah bagaimanapun berkata daripada meja belajar, Mahathir yang tegas berkongsi ilmu itu akhirnya membawa Hasmah untuk sebuah majlis makan malam.

Marine Parade, Singapura ketika itu menjadi saksi tempat cinta berputik, dedah Hasmah.

Malaysiakini juga mengajukan soalan sama ada beliau cemburu memandangkan Mahathir mempunyai ramai peminat, termasuk daripada kalangan perempuan.

“Mana dapat soalan ini?” soalnya kembali, berhenti sebentar sebelum mengakui perkara itu.

“Peminatnya memang banyak, perempuan... lelaki pun ada. Kadang-kadang saya kesian, bukan rasa sedih. Mereka selfie dekat-dekat (contohnya). Kalau pergi bazar Ramadan, usah dekat warung nak beli apa, mereka kerumun nak selfielah, apalah. Itu sebabnya saya tidak ikut dia.”

Hasmah juga berkata pernah diajukan soalan sama daripada orang ramai.

“Orang macam kamu tanya sama ada saya cemburu sangat. Tak adalah,” katanya yang terbuka menjawab pelbagai soalan dalam wawancara santai itu.

Hasmah juga mengaku tidak pernah menjangkakan suaminya itu akan menjadi perdana menteri pada suatu hari.

“Saya hanya fikir kahwin dengan budak Kedah Jelapang Padi ini dan pulang sebagai isteri seorang doktor. Tak pernah fikir (jadi isteri PM).

“Saya tahu beliau ke arah politik tetapi tidak pernah terfikir sampai ke mana,” jelasnya lagi.

3 petua cinta

Berikut antara petua kebahagiaan yang dikongsi Hasmah dengan pembaca Malaysiakini:

Kasih sayang

“Salah satu perkaranya kamu mesti saling mencintai antara satu sama lain, kamu mesti perbaharui ikrar cinta kamu, kamu luahkan kasih sayang antara satu sama lain, dengan cara lain bukan lagi seperti pasangan muda yang begitu romantik. Kamu mesti buat untuk pastikan kamu masih sayang dia dan dia masih sayang kamu.”

Percaya mempercayai

“Saya percaya pada suami saya dan beliau percaya pada saya. Ia akan permudahkan kerana sebagai doktor terutamanya, kamu berjumpa orang ramai tidak kira jantina, lelaki, perempuan, jadi kamu mesti percaya suami kamu. Kamu mesti benarkan beliau bebas. Dan ketiga bertolak ansur dan bertimbang rasa.”

Selesai segera masalah

“Jika ada masalah seperti itu (pergaduhan), terus pergi kepada puncanya dan selesaikan. Jangan biarkan berlalu dua tiga hari tanpa bercakap. Dalam Islam pun tak boleh kan. Dalam agama kita kalau tidak bercakap satu sama lain lebih tiga hari berdosa.”