PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta agar rakyat di negara ini tidak mudah percaya dengan persepsi dan fitnah yang dicipta oleh jari-jari manusia dan disebarkan di media-media sosial.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu berpegang kepada prinsip mencari kebenaran dan tidak mengaggap sesiapa bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Dengan mengambil contoh pembelian tanah TRX Exchange milik 1MDB oleh Tabung Haji, Najib berkata, fitnah yang dibentuk jari-jemari manusia tersebar sekelip mata seolah-olah 1MDB diselamatkan daripada deposit bakal jemaah dalam Tabung Haji.

"Riuh satu negara macam langit nak runtuh seolah-olah tabung haji digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

Realiti dan kebenarannya, Tabung Haji membuat pelaburan membeli tanah yang tinggi nilainya dan berpotensi untuk projek MRT," katanya.

Beliau berkata, persepsi dan fitnah yang memerangi fikiran rakyat telah membunuh kebaikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1MDB di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Seramai 1,200 bakal jemaah terdiri daripada imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dari seluruh negara menerima surat tawaran berkenaan.

Selain itu, Najib berkata serangan yang dibuat terhadap 1MDB seolah-olah 1MDB langsung tidak berjasa kepada negara.

"1MDB banyak berjasa, setiap tahun ribuan bakal jemaah ditaja, bantuan kepada sekolah dan bencana, malah bantuan berjumlah beratus-ratus juta dalam bentuk khidmat masyarakat diberikan namun langsung tidak dibuat penilaian," katanya.

Beliau turut berpesan kepada bakal jemaah yang menerima surat tawaran itu agar dapat mendoakan negara dan kepimpinan negara ini semasa mengerjakan ibadah haji.

"Tolong doakan negara kita selamat, kepimpinan negara kita ditentukan oleh kita, bukan oleh orang luar dan orang asing," katanya.