Saturday 28 March 2015

Pasukan penyiasat Jerman membawa kotak dari rumah Lubitz di Dusseldorf
BERLIN 27 Mac - Pembantu juruterbang pe­sawat Germanwings 4U 9525, Andreas Lubitz yang dipercayai sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas di Perancis Selasa lalu didakwa mengalami ‘masalah peribadi’ dan masih menjalani rawatan ketika masa nahas itu berlaku.
Laporan dari Jerman meng­andaikan, lelaki berusia 28 tahun itu bergelut untuk mengatasi masalah putus cinta yang dialami­nya dengan sengaja menjunamkan pesawat Airbus A320 itu ke Banjaran Alps mengakibatkan 149 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Teori itu muncul hanya beberapa jam selepas polis yang menyiasat nahas itu mengumumkan bahawa mereka membuat ‘pe­nemuan penting’ semasa mengeledah apartmen Lubitz selama empat jam, dan dia dikatakan berkongsi kediaman itu dengan teman wanitanya.
Pegawai penyiasat, bagaima­napun enggan mendedahkan butiran tentang kemungkinan itu, namun menegaskan bahawa penemuan itu bukanlah satu nota bunuh diri, lapor Mail Online.
Malam tadi, polis menggeledah kediaman keluarga Lubitz di sebuah bandar kecil di utara Frankfurt dan sebuah apartment di Dusseldorf dan merampas sebuah komputer, komputer riba dan beberapa keping fail yang difahamkan menjadi tempat Lubitz menghabiskan kebanyakan masanya.
“Kami menemukan sesuatu yang akan diambil untuk diperiksa. Kami tidak boleh menyatakan perkara itu buat masa ini, namun penemuan itu mungkin menjadi petunjuk penting tentang apa yang berlaku. Kami berharap penemuan itu dapat memberikan beberapa penjelasan,’’ kata seorang jurucakap polis yang enggan dikenali.
Serbuan ke atas rumah Lubitz dipercayai dibuat selepas Pendakwa Raya Marseille, Brice Robin dalam sidang medianya mendedahkan maklumat daripada Perakam Suara Kokpit (CVR) bahawa Lubitz memang mahu memusnahkan pesawat Germanwings 4U 9525 itu.
- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/luar-negara/pembantu-juruterbang-alami-putus-cinta-1.74360#sthash.f8CgYrbR.dpuf

No comments:

Post a Comment