KUALA TERENGGANU - Selepas hasrat mencuri besi di kawasan pembinaan rumah di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, gagal akibat disedari pemilik rumah, dua rakan sekampung dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Muhammad Zunaidi Zakaria, 34, dan Ahmad Bakri Mamat, 47, dari Kampung Nibong Atas, di sini, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh dan lima bulan.

Kedua-duanya dituduh  mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan  Seksyen 34 Kanun Keseksaan, pada 25 Februari lalu, antara jam 1.30  hingga 2 petang.

Majistret Rozianti Mohamed Hanapi membuat keputusan itu selepas kedua-duanya mengaku salah atas tuduhan melakukan cubaan mencuri harta, iaitu besi milik Ghazali Jusoh dan Zalina Awang @ Mamat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Zalina telah ke tapak rumah miliknya yang masih dalam pembinaan sebelum terserempak dengan dua sahabat itu, dipercayai hendak mencuri besi di tapak pembinaan tersebut.

Zalina yang tidak kenal kedua-dua lelaki terbabit terus bertanyakan tujuan mereka berada di situ sebelum kedua-duanya melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, Zalina sempat merakam gambar kedua-dua tertuduh sebelum buat laporan polis dan susulan laporan diterima, Muhammad Zunaidi serta Ahmad Bakri ditahan di tepi jalan Kampung Nibong Atas pada 26 Februari lalu pada lebih kurang jam 11.20 tengah hari.