LABIS - Seorang peniaga di Pasar Awam Chaah, di sini, terkejut mendapati bakul berisi sayur-sayuran yang diletakkan di kedainya untuk dijual dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.

Peniaga tersebut yang hanya ingin dikenali Wong, 50-an berkata, tambah menghairankan apabila dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin itu, sayur-sayuran di kedainya sahaja yang dicuri.
“Saya memeriksa di sekitar kawasan kedai namun tidak menjumpai sayur-sayuran tersebut sedangkan sewaktu hendak menutup kedai, saya susun ia di satu tempat.

“Kejadian ini kali pertama saya alami dengan kerugian dianggarkan RM150. Sayur-sayuran itu ada yang saya tanam sendiri, selebihnya diambil daripada pemborong,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Kaum Masyarakat Cina Chaah, Yong Su Wen berkata, dia meminta pihak pengurusan pasar tersebut supaya memasang lampu di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, pihaknya memandang serius kejadian kecurian itu dan meminta pihak bertanggungjawab mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan itu.

“Saya juga minta peniaga lebih berhati-hati selepas ini dengan membawa pulang barang perniagaan mereka kerana ini lebih selamat dan boleh mengelakkan kecurian,” katanya.