KUANTAN - Tindakan ‘kurang cerdik’ seorang remaja lelaki menggunakan motosikal curi untuk  bersiar-siar di bandar ini menjerat diri sendiri apabila dia berjaya ditahan polis dalam satu pemeriksaan di Lorong Sri Kuantan, di sini, semalam.

Penahanan remaja berusia 15 tahun kira-kira jam 3 pagi itu dilakukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Semasa kejadian, pasukan terbabit  diketuai Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin sedang melakukan pemantauan dan pemeriksaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan,  Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, semasa anggotanya yang melakukan  tugas rondaan di kawasan terbabit terserempak dengan suspek yang menunggang dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Permatang Badak,di sini, diarahkan  berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas  motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang suspek  mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.

“Semakan rekod juga mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek yang tercicir persekolahan  itu bersama motosikal digunakan dibawa ke IPD Kuantan, untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif dadah methamphatamine namun  tiada rekod jenayah lampau.

”Kita akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dalam sindiket curi motosikal di daerah ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan bagi menahan penjenayah selain mengekang aktiviti jenayah di bandar ini.

“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan tidak membiarkan harta benda masing-masing seperti motosikal terdedah kepada aktiviti jenayah hingga menyebabkan kerugian,” katanya.