Sunday, 18 May 2014

Ulasan Filem The Amazing Spider-Man 2

Ulasan oleh Thumb SuhaimiKredit poster dari comingsoon.net.

Selepas kejayaan Captain America: The Winter Soldier, Marvel Studios muncul dengan The Amazing Spider-Man 2: Rise of Electro yang dibarisi oleh pelakon Andrew Garfield, Emma Stone dan Jamie Foxx. Peter Parker bakal menempuh pertarungan terhebat. Selain dibelenggu diantara melunaskan kewajipan sebagai Peter Parker dengan menjalankan tanggungjawab membasmi jenayah sebagai Spider-Man, Peter cuba merungkai misteri disebalik kehilangan ibu bapanya. Dalam pada masa yang sama, percintaannya dengan Gwen Stacy menghadapi konflik. Tidak cukup dengan masalah yang dihadapi, Peter perlu berhadapan dengan tiga super villain yang bakal menggugat keamanan bandaraya New York. Sekuel bagi filem The Amazing Spider-Man (2012) ini masih mengekalkan pengarah Marc Webb selaku teraju utama.

The Amazing Spider-Man 2 (ASM2) menyorot kehidupan Peter Parker (Andrew Garfield) selepas tamat persekolahan. Bagi menyara kehidupan bersama ibu saudaranya, Aunt May (Sally Field) Peter bekerja sebagai jurufoto sambilan (yang ditugaskan untuk mengambil gambar Spider-Man) di akhbar Daily Bugle. Peter mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungannya dengan Gwen Stacy (Emma Stone) akibat tidak mahu dihantui rasa bersalah kerana perjanjian yang telah dibuat bersama mendiang bapa Gwen. Rakan lama Peter, Harry Osborn (Dane DeHaan) pulang ke bandaraya Manhattan. Harry menerima berita dari ayahnya yang sedang nazak bahawa dia juga mewarisi Retroviral Hyperplasia, penyakit genetik yang masih belum ditemui penawarnya. Kematian Norman Osborn (Chris Cooper) telah menjadikan Harry sebagai peneraju Oscorp Industries. Perlantikan Harry telah membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap ahli lembaga pengarah. Harry telah diberitahu oleh pembantunya Felicia (Felicity Jones) tentang kemungkinan masih tersimpan penawar kepada penyakit yang dialami. Hasil dari informasi yang diperolehi, Harry yakin bahawa darah Spider-Man (yang telah digigit oleh labah-labah dengan kemampuan untuk memperbaiki sel rosak hasil kajian Oscorp) adalah jalan penyelesaian baginya. Max Dillon, (Jamie Foxx) merupakan seorang jurutera elektronik yang bertugas di Menara Oscorp. Max yang sering disisihkan begitu memuja Spider-Man selepas insiden dia diselamatkan dari kecelakaan. Sewaktu sedang memeriksa litar terputus di bahagian bio-electro genesis, Max telah ditimpa kemalangan lalu terjatuh ke dalam sebuah tangki berisi belut elektrik. Keadaan itu telah menukarkan Max menjadi Electro, antagonis berwarna biru degan kulit bercahaya dan mempunyai kuasa kapasitor elektrik. Pertempuran Max dengan Spider-Man telah menyebabkan dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan Institusi Ravencroft.

Perbincangan Peter dengan Aunt May telah berjaya menemukan Peter dengan lokasi makmal rahsia bapanya yang tersimpan di stesen keretapi bawah tanah Roosevelt. Melalui rakaman video yang ditinggalkan, Peter mengetahui keputusan Richard Parker (Campbell Scott) melarikan diri dari Oscorp selepas terdengar rancangan untuk menjual hasil ujikajinya kepada operasi ketenteraan asing. Richard juga mendedahkan bahawa formula yang dihasilkan hanya akan berkesan terhadap waris selain dirinya sendiri lantaran suntikan DNA Richard ke dalam labah-labah yang dijadikan eksperimen. Spider-Man menolak permintaan Harry kerana bimbang darahnya akan membahayakan nyawa Harry. Penolakan itu telah mewujudkan perasaan dendam dalam diri Harry. Menyedari dia juga menerima nasib yang sama seperti Max; dikhianati ahli lembaga Oscorp dan Spider-Man, Harry meyakinkan Max agar menyertainya. Di makmal “Secret Projects” yang terletak di Oscorp, Harry menyuntik racun yang diekstrak dari labah-labah hasil eksperimen Richard Parker ke atas dirinya. Tindakan itu telah menyebabkan rangsangan kulit yang teruk sehingga Harry terpaksa menyarung sut perisai yang mampu melegakan kesakitannya. Electro telah menawan grid kuasa yang merupakan rekaan yang telah dirampas oleh Oscorp. Dia mahu kewujudannya mendapat perhatian oleh seluruh penduduk bandaraya New York. Dengan suit perisai berserta peluncur udara yang diperolehi, Harry bertindak untuk membalas dendam terhadap Spider-Man.

Elemen “terlalu banyak” telah menjadikan filem ini bercelaru. Terlalu banyak plot, terlalu banyak watak antagonis dan juga terlalu banyak yang ingin ditampilkan dalam jangkamasa durasi 142 minit. Ini berkemungkinan berpunca dari terlalu banyak idea cuba diserapkan oleh barisan penulis dan penulis layar yang terdiri daripada Alex Kurtzman dan Roberto Orci (Transformers, Star Trek) James Vanderbilt (White House Down) dan Jeff Pinkner (siri TV Alias, Lost dan Fringe) sehingga menyebabkan ASM2 seakan hilang fokus. Diantaranya babak ketika Electro ditawan di Institusi Ravencroft. Selain suasana yang kelihatan seperti berada dalam filem “Bond,” penyeksaan Dr. Kafka (Marton Csokas) dengan lagak a la mad scientist terhadap Electro itu agak mengundang keresahan. Kejar mengejar, tembak menembak, dan “pertempuran CGI” ketika Spider-Man menentang musuh secara tidak langsung menjadikan babak tenang seperti ketika Peter cuba memujuk Aunt May untuk menceritakan tentang ayahnya serta emosi diantara Peter dan Gwen ketika cuba memperbaiki hubungan mereka kelihatan seperti ruang untuk penonton bernafas disamping menikmati on screen chemistry yang dipersembahkan.

Andrew Garfield kelihatan lebih relatabledalam menterjemahkan Peter Parker dan menyamai watak adiwira itu di dalam komik. Tidak terkecuali Emma Stone yang telah meletak penanda aras dalam mejayakan watak Gwen Stacy. Tentunya love interestkepada Spider-Man dalam filem akan datang perlu bekerja keras bagi memastikan ia menjadi watak yang memorable persis Gwen. Keserasian Garfield dan Stone tidak dapat disangkal dan kedua mereka memberi persembahan memberangsangkan dalam mendukung watak masing-masing. Sedikit mengecewakan kerana watak-watak antagonis di dalam ASM2 tidak dikembangkan dengan baik. Lakonan Jamie Foxx sebagai Max Dillon kelihatan lebih menonjol berbanding Electro. Harry Osborn versi Dane DeHaan (Chronicle) ditampilkan dengan sisi yang lebih gelap kesan kerana diabaikan oleh bapanya sejak kecil. Namun pembangunan watak serta transisi Harry kepada The Green Goblin kelihatan begitu mudah dan tidak mengujakan.

Selain Max/Electro dan Harry/The Green Goblin, ASM 2 turut menampilkan satu lagi watak antagonis lakonan Paul Giamatti sebagai Aleksei Sytetevich/Rhino. Selain untuk memperkenalkan watak Rhino, penampilan Giamatti di awal dan akhir filem adalah sebagai penjentik keterujaan peminat Spider-Man bahawa Rhino akan kembali membuat kemunculan. Visual pada end credit mendedahkan identiti watak antagonis (The Sinister Six) yang terdiri daripada The Green Goblin, Dr Octopus, Rhino, Vulture, Kraven The Hunter dan tidak dapat dipastikan samada Mysterio ataupun Chameleon.  

Tidak dapat dinafikan dari sudut teknikal,pacing dan paparan kesan visual yang mengagumkan dalam filem ini jauh lebih baik berbanding “The Amazing Spider-Man.” Namun secara keseluruhan, ASM2 seolah-olah kekurangan “wow factor” yang mampu mengekalkan keterujaan dan tumpuan penonton agar terus melekat di skrin. Diharap Marc Webb akan melakukan perubahan pada siri akan datang supaya franchais The Amazing Spider-Man tidak menerima nasib sama seperti trilogy Spider-Man (Sam Raimy) yang terhenti selepas filem ketiga.
 


No comments:

Post a Comment