Tuesday, 6 May 2014

SEREMBAN – Negeri Sembilan menerima banyak permintaan daripada syarikat multinasional yang ingin membuka perniagaan di negeri ini.

Menteri Besar Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permintaan tinggi itu disebabkan kos operasi yang tinggi di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Ramai pelabur bercadang hanya mahu membuka ibu pejabat di sekitar Lembah Klang tetapi bahagian operasi di Seremban berikutan kos operasi di sini jauh lebih murah.

“Mereka lebih berminat membuka kilang di sekitar Seremban dan Nilai. Penambahan bilangan pelabur di negeri ini bakal melonjakkan lagi ekonomi negeri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima pelaburan domestik tidak kurang daripada RM5 juta setiap tahun.

“Kedatangan pelabur ke negeri ini telah membuka peluang pekerjaan baharu sebanyak 10,000 hingga 15,000. Tetapi, malangnya tiada yang mahu bekerja disebabkan sikap anak muda yang memilih pekerjaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pusat Beli-belah Seremban Prima, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Lion Seremban Parade Sdn Bhd, Teh Kwee Hwa.

Mohamad berkata, kerajaan negeri bercadang menggalakkan masyarakat di negeri ini tinggal dan bekerja di sini.

“Sebelum ini polisi kita menggalakkan orang ramai tinggal di Seremban dan bekerja di Lembah Klang.

“Sekarang kita mahu bandar ini menjadi pilihan orang ramai untuk bekerja dan tinggal di sini. Pembangunan rancak sedang kita jalankan demi keselesaan dan kesejahteraan orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment