- Polis tahan dua lelaki kurung wanita
- Dua lelaki diberkas polis manakala tiga lagi masih diburu berhubung kes mengurung serta mencederakan seorang wanita di sebuah rumah di Bukit Istana di Kuantan semalam.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar bandar ini semalam selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian itu dari seorang lelaki, pada 1 tengah hari semalam.
"Polis yang ke lokasi kejadian menemui wanita terbabit, berusia dalam 20-an, dalam keadaan selamat namun mengalami sedikit kecederaan di tangan dan badannya dan dia kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pasukan Cantas Wanita Kontinjen Pahang di Kuantan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang turut terlibat dalam beberapa kes samun di Kuantan, berang dan marah dengan mangsa yang didakwanya membocorkan maklumat kegiatan jenayah mereka kepada polis.
Sharifuddin berkata mangsa juga didapati mengenali dan berkawan dengan seorang daripada suspek terbabit.
"Kita sudah mengenal pasti tiga lagi suspek terbabit dan akan menahan mereka pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Mangsa dilaporkan hilang serta tidak balik ke rumah sejak tiga hari lepas oleh ibunya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
- Bernama
Friday, 2 May 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment