Sunday, 4 May 2014

2,000 maut sekali gus

Kabul: Tapak bencana tanah runtuh di kawasan pedalaman Afghanistan semalam mungkin bertukar menjadi perkuburan massa ketika penyelamat berdepan kesulitan menjalankan operasi mengesan mangsa.
Pegawai kerajaan berkata, laporan terkini sehingga petang semalam menunjukkan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh akibat bencana itu.
“Di sesetengah tempat mangsa mungkin tertimbus sehingga 10 meter di bawah tanah,” katanya.
Menurut petugas PBB di Afghanistan itu, keadaan semasa serta kedudukan lokasi yang jauh menyebabkan operasi mencari dan menyelamat lebih sukar dijalankan.
Tragedi berlaku kira-kira jam 11 pagi (2 petang waktu Malaysia) kelmarin di kawasan perkampungan terpencil Aab Bareek di daerah Argo yang terletak di kawasan pergunungan wilayah Badakshan.
Setakat ini pihak berkuasa berkata, bencana itu berlaku akibat hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

Ratusan penyelamat - dengan berbekalkan penyodok - terus bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari tetapi sehingga petang semalam (waktu Malaysia) hanya tiga mayat ditemui dan 12 mangsa tercedera dikeluarkan.
Foto
PENDUDUK setempat berkumpul melihat kesan runtuhan tanah mengorbankan lebih 2,000 nyawa di Argo semalam.

Jentera berat tiba beberapa jam kemudian tetapi pegawai bertugas tidak memberi banyak harapan bahawa lebih ramai mangsa dapat diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bencana Kebangsaan Badakshan, Abdullah Homayun Dehqan berkata, belum ada angka rasmi mangsa disahkan, Namun, katanya, PBB mendakwa sekurang-kurangnya 350 orang terbunuh dan sehingga 2,100 orang masih belum ditemui.

“Ketika ini kami bimbang kemungkinan berlaku runtuhan susulan,” katanya.
Data semasa menunjukkan ada kira-kira 300 rumah di perkampungan itu dan tumpuan turut diberi kepada kira-kira 4,000 orang yang terjejas - sama ada secara langsung atau tidak - akibat tragedi itu.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04 0  0 Google +0  0 0

No comments:

Post a Comment