Wednesday, 2 April 2014

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang suri rumah ingin bercuti bersama keluarga ke Pulau Langkawi, Kedah tercapai sebelum menemui ajal dalam satu kemalangan maut membabitkan kereta jenis Proton Persona yang dipandu suaminya dengan sebuah lori pasir di lampu isyarat Jalan Masai Baru, di sini, kelmarin.

 Mangsa, Noor Hayati Che Aziz, 30, yang sarat mengandung tujuh bulan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismain (HSI), manakala adiknya, Nasarudin Che Aziz, 20, cedera parah yang kini masih dirawat di unit rawatan rapi hospital yang sama.

 Manakala, suami mangsa, Mohd Faizal Rosli, 31, bersama dua lagi anak mereka berumur lima dan enam tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

 Biras mangsa, Norihan Mohamed, 29, berkata, percutian bersama keluarga yang dirancang ke Pulau Langkawi itu sepatutnya untuk September depan telah diawalkan pada penghujung Februari lalu atas desakan arwah.

 Jelasnya, dia yang berasa hairan apabila arwah yang sedang mengandung anak ketiganya tidak membuat sebarang persiapan untuk bayi yang bakal dilahirkan, meskipun kandungan sudah mencecah usia tujuh bulan.

 “Biasanya arwah membuat persiapan awal untuk anak yang bakal dilahirkan, tapi kali ini dia cakap nak beli semua kelengkapan bayi apabila dah dekat sangat nak bersalin.

 “Masa pergi bercuti ke Langkawi pun arwah nampak begitu gembira kerana desakan untuk pergi lebih awal tercapai kerana mengikut perancangan kami sepatutnya ke sana September depan,” katanya kepada pemberita, semalam.

 Norihan berkata, dia juga tidak menyangka sambutan hari lahirnya yang sebelum ini disambut pada 31 Mac diadakan secara mengejut pada 30 Mac bersama keluarga arwah.

 Menurutnya, sikap arwah dilihat agak berbeza kerana kerap merenung jauh ke dalam persekitaran rumahnya seolah-olah kali terakhir akan berkunjung ke rumah ini.

 “Saya tak sangka majlis hari lahir saya yang pertama kali disambut sehari lebih awal merupakan kenangan kali terakhir makan beramai-ramai bersama arwah.

 “Walaupun kami hanya biras, tapi hubungan kami sangat rapat antara satu sama lain memandangkan jarak rumah saya dan arwah sangat dekat,” katanya.

 Jenazah Noor Hayati akan dibawa pulang ke kampung halaman suaminya di Tampin Negeri Sembilan untuk dikebumikan di sana.

 Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, seorang wanita sarat mengandung maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah lori pasir dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Baru.

 Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut telah diseret kira-kira sejauh 20 meter yang menyebabkan Noor Hayati mengalami cedera parah lalu meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment