Bimbang Malaysia tak mampu tolak permintaan Obama
Tarikh: April 25, 2014
SHAH ALAM – Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) melahirkan kebimbangan Malaysia tidak mampu menolak permintaan Amerika Syarikat (AS) berhubung perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan kedatangan Presidennya, Barack Obama, esok.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Mahshar berkata, meskipun kedatangan Obama itu dalam rangka mengeratkan hubungan antara AS dengan Asia, namun tidak boleh menolak bahawa lawatannya itu juga berkaitan dengan TPP yang masih belum dipersetujui Malaysia, setakat ini.
“Obama cuba nak mengeratkan hubungan antara AS dengan Asia. Cuma ini strategi pengukuhan perdagangan AS dengan rantau Asia dan juga berkaitan dari segi persaingan dengan blok ekonomi China.
“Tujuan kedatangannya juga untuk TPP. Melihat isu-isu yang belum selesai di negara-negara berkenaan TPP. Macam Jepun ada isu harta intelek, pertanian dan sebagainya. Malaysia sendiri mempunyai beberapa isu berkenaan TPP,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Obama akan melawat Malaysia selepas ke Jepun dan Korea Selatan sebelum ke Filipina dalam rangka sebahagian daripada komitmen meningkatkan hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan.
Dakwanya perbincangan TPP yang dijalankan secara sulit itu membuka ruang untuk pihak sana menggunakan beberapa gula-gula yang kononnya untuk mengatasi pertikaian kita.
“Banyak isu kritikal yang kita tak boleh nak setuju seperti harta intelek. Mereka minta jangka masa harta intelek ini dipanjangkan. Kesan daripada isu harta intelek ini yang mana harga ubat pastinya akan naik jika kita bersetuju dengan tuntutan-tuntutan tersebut.
“Perbincangan itu sulit dan kadang-kadang mereka akan menggunakan beberapa gula-gula yang seolah-olahnya cuba menyesuaikan dengan permintaan atau kehendak kita. Tapi sebenarnya tidak.
“Contoh, mungkin mereka akan minta supaya masa dikuatkuasakan kepada Malaysia iaitu standard harta intelek yang tinggi itu akan dipanjangkan. Mungkin sehingga apabila Malaysia sampai ke tahap status negara berpendapatan tinggi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencapai tahap tertentu. Secara teorinya, mungkin kita akan capai status itu dalam dua atau tiga tahun lagi,” katanya.
Katanya, masalah yang pernah MTEM timbulkan dengan wakil-wakil AS sebelum ini adalah soal jurang pendapatan masih tinggi.
“Memanglah secara keseluruhan ekonomi kita dah capai status negara berpendapatan tinggi tapi jurang pendapatan tinggi juga kerana sejumlah besar dalam masyarakat kita yang berpendapatan rendah.
“Akhirnya apabila harga ubat ini naik dan kita pula sudah mencapai tahap yang standard harta intelek ini diperketat, maka rakyat biasa tidak akan mampu untuk menampung kos tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan-pertemuan MTEM dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), beliau menyifatkan ia seolah-olah menunjukkan keduanya masih terperangkap dalam perbincangan umum yang tidak memberi hasil muktamad.
“Buat masa sekarang, dalam pertemuan-pertemuan dengan Miti terutamanya, Menteri Miti sangat positif, terbuka dan memberi layanan yang baik tapi masalahnya, persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh MTEM dan gabungan NGO banyak yang tidak dijawab dengan menyeluruh.
“Ataupun dalam masa yang sama banyak komitmen dan janji yang diberikan untuk memastikan proses rundingan di peringkat rakyat Malaysia (wakil industri dan NGO) dapat berjalan dengan baik, itu tak dapat ditemui.
“Kita masih terperangkap dalam perbincangan umum yang mana tidak menjanjikan bahawa industri tempatan atau rakyat Malaysia akan dapat manfaat daripada TPP. Malahan kita yakin bahawa kita tidak akan mendapat manfaat daripada TPP ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment